24 April 2009

Pengenalan Kepada Siasah Syariyyah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyambung perkongsian ilmu dengan pembaca sekalian. Mungkin lantaran kesibukan dengan peperiksaan dan kertas projek yang masih dalam proses penyiapan. Mudah-mudahan Allah swt memudahkan segala urusan hambaNya.

Saya yakin dan percaya bahawa semua daripada kita yang bergelar muslim sedia maklum dan setuju jika sekiranya saya mengatakan bahawa Rasulullah saw adalah merupakan tokoh politik yang paling agung dalam sejarah tamadun manusia. Bahkan ada di antara mereka yang bukan Islam juga mengiktiraf perkara ini. Malulah kita sebagai orang Islam jika tidak bersetuju dengan hal ini. Jika tidak silap, ada satu buku karangan orang barat yang menceritakan mengenai kehebatan dan ketokohan Nabi Muhammad saw. Malangnya, saya pun kurang pasti tajuk buku tersebut. Mungkin pembaca sekalian boleh membantu.

Nabi Muhammad saw merupakan utusan Allah swt. Maka baginda sesekali tidak berkata-kata dengan mengikut hawa nafsu melainkan ianya wahyu dan petunjuk daripada Allah swt. Secara umumnya, sebagai seorang pemerintah, baginda tidak mempunyai masalah untuk menjalankan apa jua urusan politik dan pemerintahan kerana baginda sentiasa dipandu oleh petunjuk dan wahyu daripada Allah swt. Pendek kata, Rasulullah secara langsung boleh membuat sesuatu keputusan bagi sesuatu isu yang berlaku.

Namun begitu, selepas kewafatan baginda saw, umat Islam mula terdedah dengan pelbagai isu yang berkaitan politik dan pemerintahan. Ada isu yang boleh diselesaikan dan ada juga yang tidak menemui jalan penyelesaiannya. Ini kerana, tidak semua isu yang berlaku mempunyai kata putus daripada Al-Qur'an dan Al-Sunnah. Justeru itu, ianya memerlukan kepada hikmah dan kebijaksanaan sahabat baginda untuk melakukan ijtihad berpandukan 2 sumber perundangan Islam tersebut. Namun demikian, perkara ijtihad tidak dapat lari daripada perselisihan pendapat di kalangan mujtahid. Oleh kerana itu, terdapat juga isu yang diakhiri dengan konflik yang berpanjangan.


Dalam hal ini, pemerintah dan ahli politik yang diberi kuasa bagi menguruskan sesebuah negara memerlukan kepada kaedah-kaedah tertentu bagi menjalankan urusan pemerintahan. Kaedah-kaedah inilah yang dinamakan sebagai SIASAH SYAR'IYYAH atau menguruskan politik berdasarkan syariat Islam.

Insyaallah, jika masih diberi kesempatan, saya akan menyambung penulisan ini kepada perbincangan mengenai konsep siasah syar'iyyah.

Segala teguran amat dialu-alukan.

15 April 2009

:: SiAsAh SyAr'IyYaH ::



SIASAH SYAR'IYYAH? Satu istilah yang terlalu jarang didengari. Hatta kalau ditanya kepada orang yang mengaji agama pun mungkin mereka juga baru pertama kali mendengar perkataan sebegini. Apatah lagi kalau mereka yang bukan dari bidang pengajian aliran agama ini. Ini sifirnya secara umum.

Cumanya, sejak kebelakangan ini, dalam kancah politik negara hari ini, istilah ini semakin disebut-sebut terutamanya di kalangan sebahagian pemimpin di negara kita ini. Mungkin ramai di antara kita yang bertanya:

Apakah yang dimaksudkan dengan siasah syar'iyyah?

Apakah kepentingan siasah syar'iyyah ini?

Bagaimanakah siasah syar'iyyah itu diaplikasikan?


dan bermacam-macam persoalan lagi yang berlegar di kepala kita. Justeru, penulis sebagai orang yang mempelajari secara khusus bidang ini akan cuba memberi penjelasan sekadar yang termampu dengan merujuk kepada kitab-kitab yang berautoriti dalam dalam bab ini. Semoga Allah memberi kemudahan dan kelapangan waktu kepada penulis untuk berkongsi ilmu dengan pembaca sekalian...nantikan tulisan yang seterusnya...


Penulis,
Pelajar Tahap Akhir,
Jabatan Siasah Syar'iyyah,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.