31 October 2009

KEPIMPINAN MENURUT ISTILAH AL- QURAN

Dalam Al- Quran, terdapat beberapa istilah yang boleh dierti atau ditafsirkan sebagai pemimpin atau yang secara langsung menyebut mengenai hal ehwal dalam aspek kepimpinan. Sebagai contoh :

i. Imam / Imamah

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang- orang) yang berdoa dengan berkata:“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang- orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al-Furqan : 74)



Imam atau imamah merupakan satu jawatan yang berperanan sebagai penunjuk jalan kepada sesuatu arah atau tempat atau memimpin dengan contoh teladan. Ianya bermakna, seseorang imam itu sendiri semestinya melaksanakan sesuatu itu lebih awal daripada orang yang hendak dipimpin. Sebagai contoh, dalam konteks melaksanakan ibadah solat atau sembahyang. Segala perlakuan mahupun perbuatan imam mestilah dituruti oleh para makmum.


Imam : mestilah atau wajib melaksanakan apa yang telah ditetapkan dalam syariat atau peraturan.

Makmum : mestilah atau wajib mengikut imam selagimana imam itu melaksanakan tuntutan syariat mengikut peraturan yang telah ditetapkan.


ii. Amir / Imarah

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Al-Nisa’ : 59)

Amir merupakan satu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang bermaksud sebagai pemberi arahan, tugas, pemerintah atau mengamanahkan seseorang dengan tugas atau tanggungjawab. Dalam konteks sejarah pemerintahan Islam, Amir al-Mukminin merupakan pemerintah masyarakat atau Ketua Negara Islam. Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab merupakan antara contoh Amir al-Mukminin yang begitu bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka.


iii. Khalifah.

‘Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (al-Baqarah : 30)

Khalifah merupakan suatu jawatan bagi menggantikan seseorang atau mengambil tempat mengikut atau meneruskan apa yang telah ada. Dalam konteks sejarah kepimpinan Islam, khalifah merupakan pengganti Rasulullah SAW dalam menerus, mengurus dan mentadbir negara Islam. Ini termasuklah dalam menguruskan hal ehwal masyarakat, ekonomi, politik dan sebagainya.

Khalifah ialah sebagai pentadbir, penguasa, pengatur, dan pemakmur yang bertanggungjawab mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan kepada wahyu dan syariat Allah. Ini adalah bagi memastikan kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan- tujuan hidup yang murni bagi mencapai keredhaan Allah SWT. Manusia sebagai khalifah (vicegerent) yang merupakan wakil Allah SWT di bumi, adalah berkewajipan mendirikan institusi kepimpinan yang diredhai Allah SWT.

Rujukan:
Al-Qur’an al-Karim
Mohd Amin Salih (1991). Kepimpinan Menurut Pandangan Islam (Kecemerlangan Pentadbiran, Dasar dan Amalan Dalam Islam). Kuala Lumpur : INTAN

No comments: