
Pengalaman bekerja sebagai pendidik hampir 4 minggu di sini memang memenatkan. Mungkin masih cuba untuk membiasakan diri dengan keadaam persekitaran. Hampir sebulan di sini banyak pengalamana yang ditimba. Di luar sana, kita akan berhadapan dengan berbagai macam jenis manusia dengan watak-watak yang berbeza. Nama Islam itu sahaja tidak cukup untuk membuktikan seseorang itu memahami dengan sebenarnya peranan mereka sebagai khalifah di muka bumi ini.

Peranan seorang guru atau muallim sebenarnya adalah sangat luas. Walaupun bukan dari jurusan pendidikan, tetapi peranan itu dapat dirasakan apabila kita terjun ke dalam kancah ini. Guru bukan sekadar menyampai dan memahamkan ilmu yang ada di dalam buku, malah lebih penting daripada itu ialah untuk membentuk pemikiran pelajar, meniupkan ruh ilmu tersebut supaya ilmu itu menjadi suluhan mereka ketika melalui lorong-lorong gelap dunia ini.
"Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya itu tidak datang kepada hati-hati yang gelap"