30 August 2009

DEFINISI KEPIMPINAN

*sambungan dari post kepimpinan orang bukan Islam...

Definisi kepimpinan merupakan antara definisi yang terdapat banyak perbalahan di kalangan para tokoh terkemuka dan ilmuan. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh seorang pakar “ jumlah definisi adalah sama banyak dengan jumlah orang yang cuba untuk mendefinisikan konsep tersebut ”. Di sebalik kegawatan pelbagai definisi yang cuba diberi dan diketengahkan, pakar dan kebanyakan tokoh bersepakat bahawa kepimpinan adalah merujuk kepada kebolehan untuk mempengaruhi kumpulan untuk mencapai kepelbagaian matlamat dan tujuan.

Sudut Bahasa :

Kepimpinan berasal dari perkataan pimpin. Kamus Dewan memberikan makna istilah “pimpin” sebagai mengepalai atau mengetuai serta mengendalikan ( badan, pertubuhan, pergerakan, negara dan lain-lain ) dan kepimpinan itu adalah merujuk kepada keupayaan memimpin.

Istilah ini diberikan dalam makna dalam bahasa Inggeris sebagai “ Leadership ” dan dalam bahasa Arab terdapat banyak istilah seperti al-Imamah, al-Khilafah dan al-Imarah.

Sebagai kesimpulannya, menurut bahasa kepimpinan boleh dikatakan atau diertikan sebagai satu tugas besar yang akan menerajui segala yang berada di bawah kepimpinannya dan mengurus selok- belok yang berkaitan dengannya. Melihatkan kepada kepentingannya, kepimpinan adalah bersifat instrument atau alat yang akan mengukuhkan lagi aspek- aspek kepentingan hidup manusia itu sendiri.



Sudut Istilah :

Al- Mawardi menamakannya dengan al-Imamah sebagai tanggungjawab menggantikan Nabi Muhammad SAW untuk menjaga urusan agama dan mentadbir dunia. Pendapat ini juga disepakati oleh Al- Taftazani iaitu al- Imamah sebagai satu kepimpinan utama dalam urusan agama dan dunia sebagai menggantikan tugas- tugas kenabian.

Ibn Khaldun pula menggunakan istilah al- Khilafah ( mentakrifkan kepimpinan sebagai menundukkan manusia kepada kehendak syarak dalam kepentingan yang berkaitan dengan soal akhirat dan keduniaan mereka ). Ibn Khaldun menggunakan istilah al- Khilafah dalam mentakrifkan konsep kepimpinan itu sendiri. Ini adalah kerana konsep atau istilah al- Khilafah itu sangat dekat dan hampir dengan kehidupan bernegara umat Islam itu sendiri.

Wallahu a'lam.

No comments: