04 August 2009

“KEPIMPINAN ORANG BUKAN ISLAM DALAM NEGARA ISLAM DAN REALITI MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA”


Islam merupakan agama yang sempurna. Tidak ada satu pun aspek kehidupan ini yang terlepas dari pandangan Islam termasuklah aspek politik dan pemerintahan. Justeru itu, sebagai satu aspek yang bersifat semasa, maka politik dan pemerintahan ini tidak terlepas daripada mengalami proses tranformasi sesuai dengan peredaran zaman dan tempat. Perubahan ini hanyalah pada perkara-perkara yang bersifat ijitihadiah dan tidak kepada perkara-perkara prinsip dan dasar. Inilah yang menjadikan Islam sebagai satu agama yang fleksibel yang tidak hanya jumud kepada sesuatu perkara sahaja.

Di dalam sistem politik dan pemerintahan Islam, terdapat satu isu penting yang menjadi perbincangan di kalangan tokoh-tokoh politik Islam klasik mahupun moden iaitu berkenaan kepimpinan orang bukan Islam di dalam negara atau pemerintahan Islam. Isu ini boleh dikatakan persoalan baru kerana ianya tidak dilakukan pada zaman Rasulullah saw iaitu melantik golongan bukan Islam untuk memegang jawatan-jawatan tertentu di dalam pemerintahan baginda. Umat Islam pada ketika itu memegang tampuk pemerintahan secara total tanpa penglibatan orang bukan Islam secara langsung.

Namun, peredaran zaman menyebabkan keadaan yang sebaliknya berlaku. Negara Islam seperti Malaysia (jika dilihat dari segi majoriti masyarakat beragama Islam) yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum tidak memungkinkan umat Islam memegang tampuk pemerintahan 100%. Tambahan pula, golongan bukan Islam ini juga menguasai bidang-bidang tertentu di dalam negara seperti ekonomi. Oleh itu, perlunya kepada penglibatan secara langsung golongan ini di dalam sistem pemerintahan negara.

Oleh yang demikian, tulisan ini adalah bertujuan untuk mengetahui sejauh mana kaedah siasah syar’iyyah dalam Islam membenarkan hal ini berlaku dan jika ianya dibolehkan, maka apakah syarat-syarat yang perlu dijadikan garis panduan kepada umat Islam hari ini.

No comments: