30 August 2009

DEFINISI KEPIMPINAN

*sambungan dari post kepimpinan orang bukan Islam...

Definisi kepimpinan merupakan antara definisi yang terdapat banyak perbalahan di kalangan para tokoh terkemuka dan ilmuan. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh seorang pakar “ jumlah definisi adalah sama banyak dengan jumlah orang yang cuba untuk mendefinisikan konsep tersebut ”. Di sebalik kegawatan pelbagai definisi yang cuba diberi dan diketengahkan, pakar dan kebanyakan tokoh bersepakat bahawa kepimpinan adalah merujuk kepada kebolehan untuk mempengaruhi kumpulan untuk mencapai kepelbagaian matlamat dan tujuan.

Sudut Bahasa :

Kepimpinan berasal dari perkataan pimpin. Kamus Dewan memberikan makna istilah “pimpin” sebagai mengepalai atau mengetuai serta mengendalikan ( badan, pertubuhan, pergerakan, negara dan lain-lain ) dan kepimpinan itu adalah merujuk kepada keupayaan memimpin.

Istilah ini diberikan dalam makna dalam bahasa Inggeris sebagai “ Leadership ” dan dalam bahasa Arab terdapat banyak istilah seperti al-Imamah, al-Khilafah dan al-Imarah.

Sebagai kesimpulannya, menurut bahasa kepimpinan boleh dikatakan atau diertikan sebagai satu tugas besar yang akan menerajui segala yang berada di bawah kepimpinannya dan mengurus selok- belok yang berkaitan dengannya. Melihatkan kepada kepentingannya, kepimpinan adalah bersifat instrument atau alat yang akan mengukuhkan lagi aspek- aspek kepentingan hidup manusia itu sendiri.



Sudut Istilah :

Al- Mawardi menamakannya dengan al-Imamah sebagai tanggungjawab menggantikan Nabi Muhammad SAW untuk menjaga urusan agama dan mentadbir dunia. Pendapat ini juga disepakati oleh Al- Taftazani iaitu al- Imamah sebagai satu kepimpinan utama dalam urusan agama dan dunia sebagai menggantikan tugas- tugas kenabian.

Ibn Khaldun pula menggunakan istilah al- Khilafah ( mentakrifkan kepimpinan sebagai menundukkan manusia kepada kehendak syarak dalam kepentingan yang berkaitan dengan soal akhirat dan keduniaan mereka ). Ibn Khaldun menggunakan istilah al- Khilafah dalam mentakrifkan konsep kepimpinan itu sendiri. Ini adalah kerana konsep atau istilah al- Khilafah itu sangat dekat dan hampir dengan kehidupan bernegara umat Islam itu sendiri.

Wallahu a'lam.

16 August 2009

FAQEH DAN ‘ALIM

وَ مَا كَانَ المُؤمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَآفَّةً فَلَو لاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَومَهُم إِذَا رَجَعُوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرُونَ

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya. (al-Taubah: 122)

Ayat ini telah menasakhkan 2 ayat di dalam al-Qur’an yang menyeru supaya orang beriman turun ke medan perang secara keseluruhannya walaupun dalam keadaan senang mahupun susah. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jil. 7, Maktabah Awlad al-Sheikh Li al-Turath,h. 316).

Dalam ayat ini, Allah SWT telah memerintahkan bahawa hendaklah ada sekelompok di kalangan orang beriman untuk mendalami ilmu agama (ليتفقهوا في الدين) di kala sebahagian yang lain pergi berjihad di medan perang. Tujuannya tidak lain tidak bukan ialah untuk 1)memberi kefahaman agama daripada wahyu Allah dan 2)memberi peringatan terhadap tentangan musuh-musuh Islam kepada mereka yang kembali dari medan perang (Ibid. h. 317). Maka di sinilah terletaknya 2 peranan kelompok tersebut.

Maka inilah sebenarnya peranan mahasiswa-mahasiswi Islam yang baru sahaja bergraduasi dari institut pengajian tinggi. Kita tidak boleh leka dengan segulung ijazah yang diterima tanpa kita menyedari hakikat sebenar peranan kita sebagai golongan yang mendalami ilmu agama.

Dalam konteks ayat ini, golongan FAQEH adalah berbeza dengan golongan yang ‘ALIM. Lantaran itu digunakan kalimah ليتفقهوا dan tidak digunakan kalimah ليتعلموا . Tidak semua orang ‘ALIM itu FAQEH dalam agamanya akan tetapi setiap yang FAQEH itu sudah semestinya ‘ALIM dalam agamanya. Orang yang FAQEH adalah orang yang mengetahui tentang sesuatu ilmu itu dan memahami tuntutan daripada ilmu tersebut. Maka dengan kefahaman itulah dia mampu untuk memberi ilmu dan peringatan kepada kaumnya sekembalinya mereka daripada medan jihad. Namun begitu, orang yang ‘ALIM sahaja tidak cukup untuk memberi peringatan kepada kaumnya. Dia hanya mampu menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada mereka tetapi tidak berupaya menyampaikan tuntutan-tuntutan ilmu. Amatlah rugi bagi mereka yang tergolong di dalam kelompok ini. Realiti ini jelas dapat dilihat pada hari ini.

Jesteru itu, marilah sama-sama mengambil iktibar daripada firman Allah SWT di atas dan bertanyakan kepada diri kita, di manakah kedudukan kita pada hari ini. Sama-sama kita saling memperingati.

Wallahua’lam…
*intipati pengisian oleh Ust Kamal Ashaari

12 August 2009

11 August 2009

Kem Kembara Khalifah Remaja SIMDE

11 Ogos 2009,Subang Jaya: Sekolah Menengah Integrasi Masjid Darul Ehsan telah menganjurkan sebuah kem yang dinamakan sebagai Kem Kembara Khalifah Remaja 2009.Kem ini telah berlangsung pada 8-9 Ogos 2009 iaitu selama 2 hari 1 malam bertempat di Kem Lembah Genting, Batang Kali, Selangor. Kem ini telah dihadiri oleh 35 peserta di kalangan pelajar tingkatan 1 hingga 3 dan 8 orang guru pengiring.


Antara matlamat kem ini diadakan adalah untuk memperkasakan sahsiah para pelajar disamping memberi motivasi kepada mereka untuk belajar secara bersungguh-sungguh dan efektif. Kem ini bertemakan "Membina Generasi Ulul Albab" yang mengajak para pelajar dan guru untuk menjadi golongan yang sentiasa menggunakan akal untuk berfikir.

Menurut salah seorang daripada guru pengiring, En Rahimi P. Ramlee,secara kasarnya kem ini telah berjaya sedikit sebanyak untuk membentuk sahsiah pelajar kepada yang lebih baik dan sentiasa berfikir ke arah keupayaan atau secara positif.



Antara pengisian di dalam kem adalah seperti ceramah motivasi, tazkirah, riadhah (flying fox), LDK, Night Walk dan lain-lain lagi. Semoga kem ini sedikit sebanyak memberikan manfaat dan kesan yang baik kepada para pelajar mahupun guru-guru.- empoweringmuslim

04 August 2009

“KEPIMPINAN ORANG BUKAN ISLAM DALAM NEGARA ISLAM DAN REALITI MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA”


Islam merupakan agama yang sempurna. Tidak ada satu pun aspek kehidupan ini yang terlepas dari pandangan Islam termasuklah aspek politik dan pemerintahan. Justeru itu, sebagai satu aspek yang bersifat semasa, maka politik dan pemerintahan ini tidak terlepas daripada mengalami proses tranformasi sesuai dengan peredaran zaman dan tempat. Perubahan ini hanyalah pada perkara-perkara yang bersifat ijitihadiah dan tidak kepada perkara-perkara prinsip dan dasar. Inilah yang menjadikan Islam sebagai satu agama yang fleksibel yang tidak hanya jumud kepada sesuatu perkara sahaja.

Di dalam sistem politik dan pemerintahan Islam, terdapat satu isu penting yang menjadi perbincangan di kalangan tokoh-tokoh politik Islam klasik mahupun moden iaitu berkenaan kepimpinan orang bukan Islam di dalam negara atau pemerintahan Islam. Isu ini boleh dikatakan persoalan baru kerana ianya tidak dilakukan pada zaman Rasulullah saw iaitu melantik golongan bukan Islam untuk memegang jawatan-jawatan tertentu di dalam pemerintahan baginda. Umat Islam pada ketika itu memegang tampuk pemerintahan secara total tanpa penglibatan orang bukan Islam secara langsung.

Namun, peredaran zaman menyebabkan keadaan yang sebaliknya berlaku. Negara Islam seperti Malaysia (jika dilihat dari segi majoriti masyarakat beragama Islam) yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum tidak memungkinkan umat Islam memegang tampuk pemerintahan 100%. Tambahan pula, golongan bukan Islam ini juga menguasai bidang-bidang tertentu di dalam negara seperti ekonomi. Oleh itu, perlunya kepada penglibatan secara langsung golongan ini di dalam sistem pemerintahan negara.

Oleh yang demikian, tulisan ini adalah bertujuan untuk mengetahui sejauh mana kaedah siasah syar’iyyah dalam Islam membenarkan hal ini berlaku dan jika ianya dibolehkan, maka apakah syarat-syarat yang perlu dijadikan garis panduan kepada umat Islam hari ini.