16 August 2009

FAQEH DAN ‘ALIM

وَ مَا كَانَ المُؤمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَآفَّةً فَلَو لاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَومَهُم إِذَا رَجَعُوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرُونَ

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya. (al-Taubah: 122)

Ayat ini telah menasakhkan 2 ayat di dalam al-Qur’an yang menyeru supaya orang beriman turun ke medan perang secara keseluruhannya walaupun dalam keadaan senang mahupun susah. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jil. 7, Maktabah Awlad al-Sheikh Li al-Turath,h. 316).

Dalam ayat ini, Allah SWT telah memerintahkan bahawa hendaklah ada sekelompok di kalangan orang beriman untuk mendalami ilmu agama (ليتفقهوا في الدين) di kala sebahagian yang lain pergi berjihad di medan perang. Tujuannya tidak lain tidak bukan ialah untuk 1)memberi kefahaman agama daripada wahyu Allah dan 2)memberi peringatan terhadap tentangan musuh-musuh Islam kepada mereka yang kembali dari medan perang (Ibid. h. 317). Maka di sinilah terletaknya 2 peranan kelompok tersebut.

Maka inilah sebenarnya peranan mahasiswa-mahasiswi Islam yang baru sahaja bergraduasi dari institut pengajian tinggi. Kita tidak boleh leka dengan segulung ijazah yang diterima tanpa kita menyedari hakikat sebenar peranan kita sebagai golongan yang mendalami ilmu agama.

Dalam konteks ayat ini, golongan FAQEH adalah berbeza dengan golongan yang ‘ALIM. Lantaran itu digunakan kalimah ليتفقهوا dan tidak digunakan kalimah ليتعلموا . Tidak semua orang ‘ALIM itu FAQEH dalam agamanya akan tetapi setiap yang FAQEH itu sudah semestinya ‘ALIM dalam agamanya. Orang yang FAQEH adalah orang yang mengetahui tentang sesuatu ilmu itu dan memahami tuntutan daripada ilmu tersebut. Maka dengan kefahaman itulah dia mampu untuk memberi ilmu dan peringatan kepada kaumnya sekembalinya mereka daripada medan jihad. Namun begitu, orang yang ‘ALIM sahaja tidak cukup untuk memberi peringatan kepada kaumnya. Dia hanya mampu menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada mereka tetapi tidak berupaya menyampaikan tuntutan-tuntutan ilmu. Amatlah rugi bagi mereka yang tergolong di dalam kelompok ini. Realiti ini jelas dapat dilihat pada hari ini.

Jesteru itu, marilah sama-sama mengambil iktibar daripada firman Allah SWT di atas dan bertanyakan kepada diri kita, di manakah kedudukan kita pada hari ini. Sama-sama kita saling memperingati.

Wallahua’lam…
*intipati pengisian oleh Ust Kamal Ashaari

1 comment:

AKU DAN PERJUANGANKU said...

salam...tahniah...smoga anta berjaya dunia akhirat...ana sentiasa doakan